BERITA
TPM hargai usaha YPC dan Utusan

TPM hargai usaha YPC dan Utusan

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memuji inisiatif dan usaha murni Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) dengan kerjasama Kumpulan Utusan melalui Unit Pendidikannya memberi biasiswa kepada pelajar miskin

untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Kata beliau, dua organisasi ini perlu dicontohi oleh sektor swasta dan organisasi lain dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat kepada negara.

``Kerajaan sangat mengalu-alukan sumbangan sektor swasta dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam membangunkan pendidikan negara seterusnya membantu kerajaan dalam melahirkan modal insan yang berkualiti,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Biasiswa Utusan - YPC di Kementerian Pelajaran Malaysia, Putrajaya baru-baru ini.

Hadir sama kedua-dua timbalannya, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Dr. Mohd. Puad Zarkashi; Ketua Setiausaha Kementerian, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom; Pengerusi YPC, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej YPC, Dr. Noel Robert.

Sementara itu Syed Ali berkata, YPC akan menaja pelajar dari keluarga berpendapatan rendah untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi melalui pemberian Biasiswa Utusan - YPC.

``Biasiswa tersebut ditaja sepenuhnya oleh Kolej YPC bagi pelajar mengikuti peringkat asas (foundation) selama satu tahun dalam kursus Perniagaan dan Teknologi Maklumat di kolej tersebut sebelum meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah.

``Selepas menamatkan program foundation, pelajar-pelajar berkenaan berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains (Kepujian) Teknologi dan Pengurusan E-Perniagaan dengan kerjasama Universiti John Moores Liverpool, United Kingdom (UK),'' katanya.

Menurut beliau, seramai 200 pelajar dipilih menerima biasiswa berkenaan yang bernilai RM5,000 tetapi pemilihan penerimanya dilakukan secara berperingkat-peringkat.

``Bagi sesi pertama pengambilan pada April ini, kemungkinan seramai 50 pelajar sahaja akan menerima biasiswa tersebut manakala penerima selebihnya akan dipilih untuk sesi kedua serta seterusnya hingga genap kepada 200 penerima,'' jelasnya.

Syed Ali berkata, pemilihan penerima biasiswa berkenaan akan dilakukan oleh jawatankuasa Utusan - YPC bagi mengenalpasti dan meneliti pelajar yang berkelayakan dari seluruh negara.

``Borang permohonan bagi mendapatkan biasiswa ini boleh didapati dalam akhbar Utusan Malaysia bermula bulan ini,'' tambah beliau.

DAFTAR MASUK
Nama Pengguna :  
Kata Laluan :
IKLAN@TUTOR
Pakej Pembelajaran Online
Elab
Utusan Online
USIK-USIK
CARIAN