170 murid SK Sentul (1) sertai KPPS![]() DR. Ismail (dua dari kiri) bersama guru dan peserta KPPS di SK Sentul (1), Kuala Lumpur baru-baru ini. SERAMAI 170 murid tahun enam yang bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sentul (1), Kuala Lumpur telah mengikuti Kursus Pengurusan Pembelajaran Strategik (KPPS) di bawah program Pendidikan Utusan baru-baru ini. Program anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah itu adalah hasil kerjasama dan dibiayai oleh Lembaga Kebajikan Perempuan Islam, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Program selama satu hari itu dipenuhi dengan aktiviti bimbingan dan suntikan motivasi oleh penceramah motivasi yang juga Penasihat Pendidikan Utusan, Dr. Ismail Zain.
Guru Besar SK Sentul (1), Chan Bee Tin berkata, di samping motivasi diri pelajar, peranan dan sokongan ibu bapa terhadap anak-anak serta aktiviti yang dijalankan oleh pihak sekolah amatlah diperlukan. ``Setakat ini kami mendapat kerjasama yang baik daripada ibu bapa dan saya harap kerjasama ini dapat diteruskan di masa hadapan bagi kepentingan anak-anak kita,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut baru-baru ini.
Sementara itu, Penyelaras Kursus, Halimah Ahmad yang juga merupakan kaunselor pelajar berharap kursus seumpama itu mampu membuka minda murid dan memberi iktibar dari pengisian kursus untuk membuat penambahbaikan terhadap diri ke arah kecemerlangan. Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Wilayah Persekutuan, To’ Puan Siti Sara Husin berkata, pihaknya rasa terpanggil untuk membantu dan memberi kerjasama menjayakan program tersebut demi meningkatkan prestasi serta menjadikan masa depan anak-anak ini berguna kepada bangsa dan negara. ``Sebahagian besar peserta kursus berasa sungguh bersemangat serta beruntung kerana dapat menyertai kursus yang sangat bermanfaat oleh pihak sekolah,'' katanya. Seorang murid tahun enam, Nur Afifah Wan Anwar berkata, melalui kursus itu dia dapat mempelajari cara menguruskan masa dengan lebih baik dan berharap untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR nanti. Manakala Aliff Najmi Khalid pula berkata, dia sangat bersemangat menyertai kursus itu dan berpeluang mempelajari banyak perkara baru yang sangat menarik dan berguna untuk dipraktikkan dalam pembelajaran. Selain daripada KPPS, pihak Pendidikan Utusan juga turut menganjurkan Seminar Strategi Menjawab Soalan (SSMS) dan Strategi Ambang Peperiksaan (SAP) bagi UPSR, Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kursus dibekalkan dengan fail bahan kursus, sijil penyertaan serta laporan ringkas dalam akhbar sisipan Utusan Malaysia iaitu ADaP. Kursus anjuran Persatuan Kakitangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) atau Mitasa dan UMNO Bukit Bintang, Kuala Lumpur akan diadakan dalam masa terdekat. Pihak sekolah atau badan luar yang ingin menganjur kursus-kursus yang ditawarkan boleh menghubungi talian 019-5713745 atau mendapat maklumat dengan melayari www.tutor.com.my/motivasi.
|







