INTI sedia tempat terbaik pelajari bidang Perniagaan
KOLEJ Metropolitan yang merupakan sebahagian daripada Kolej INTI Subang akan memastikan semua siswazahnya mempunyai keupayaan menyesuaikan diri dengan keadaan di tempat kerja khususnya dalam persekitaran perniagaan melalui beberapa inisiatif kerjasama dengan pihak majikan. Antara usaha yang dijalankan adalah program ‘Enrolment to Employment’ (E2E) dan simulasi persekitaran perniagaan yang dipanggil ‘Business Capstone’ yang memberi pendedahkan kepada pelajar untuk menjadi sebahagian dari Kumpulan Eksekutif yang bertanggungjawab membuat keputusan dalam sesebuah organisasi korporat. Sebagai perintis di bidang pendidikan perniagaan, Metropolitan telah menjalin kerjasama erat dengan banyak institusi antarabangsa yang dihormati di seluruh dunia. Pelbagai program sarjana muda perniagaan dan juga lepasan ijazah yang diiktiraf seluruh dunia dapat ditawarkan dengan wujudnya kerjasama erat tersebut dan ia juga memastikan kurikulum yang ditawarkan menepati keperluan dalam industri. Presiden Kolej INTI Subang, Joyce Yuen berkata, pihaknya percaya seseorang graduan bidang perniagaan harus mempunyai keinginan yang mendalam untuk mendalami ilmu serta meningkatkan kemahiran mereka. ``Dua faktor ini begitu penting dalam membantu syarikat mencapai keuntungan serta menghadapi sebarang impak negatif yang mungkin timbul daripada faktor luaran seperti masalah ekonomi yang tidak menentu” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini. Menurut beliau, terdapat lima pilihan subjek utama dalam bidang perniagaan iaitu Perakaunan dan Kewangan, Ekonomi dan Kewangan, Kewangan dan Pemasaran, serta Pengurusan dan Pemasaran yang dijangka mampu melahirkan graduan berkebolehan dan berpengetahuan dalam pelbagai bidang. ``Kursus perakaunan dan kewangan tersebut diiktiraf sepenuhnya oleh Chartered Public Accountants (CPA) Australia dan sekaligus mendapat pengiktirafan dari Malaysian Institute of Accountants (MIA),'' ujarnya. Beliau menjelaskan, para pelajar juga boleh mengambil dua subjek utama atau ‘double major’ yang memberi peluang lebih cerah kepada mereka untuk mendapat peluang pekerjaan apabila tamat pengajian kelak. ``Terutamanya dalam keadaan sekarang di mana kebanyakan syarikat memerlukan pekerja yang berilmu dan berkebolehan dalam pelbagai aspek bagi menghasilkan keputusan yang baik kepada syarikat,'' katanya. Tambah beliau lagi, Kolej Metropolitan yang merupakan ahli Kumpulan Pendidikan INTI dapat memanfaatkan kemudahan yang tersedia dalam rangkaian global berikutan kerjasama dengan Laureate International Universities serta memberi peluang kepada pelajar tempatan memperoleh manfaat kemudahan sistem pembelajaran bertaraf antarabangsa. ``Selain daripada pelbagai kemudahan dan penekanan yang disediakan dalam mewujudkan kursus berasaskan kerjaya, INTI turut mementingkan pendedahan antarabangsa dan pembelajaran secara amali bagi meningkatkan kemampuan pelajar bersaing di peringkat antarabangsa. ``Antaranya adalah dengan mengadakan lawatan sambil belajar ke syarikat-syarikat terkemuka luar negara yang memberi peluang kepada pelajar untuk mengenali budaya perniagaan yang berbeza di tempat lain. ``Pelajar juga berpeluang untuk mengikuti pengajian selama satu semester di mana-mana institusi rangkaian Laureate International Universities melalui tawaran ‘Semester Abroad Programme’ (SAP),'' terang beliau. Selain itu katanya, pelajar kursus perniagaan di Kolej Metropolitan turut berpeluang belajar dengan pensyarah yang mengadakan lawatan bagi berkongsi perspektif antarabangsa. ``Pensyarah antarabangsa mengadakan kerjasama dengan pensyarah tempatan dan semua kakitangan kolej dalam memastikan para pelajar mendapat ilmu serta pengalaman akademik yang bermutu tinggi,'' kata beliau.
|





