CCM pupuk minat membaca![]() TERIMA KASIH... JPN Perak berbesar menerima sumbangan buku daripada CCM di Ipoh, Perak baru-baru ini. CHEMICAL Company of Malaysia Berhad (CCM) sekali lagi memberikan sumbangan berupa buku-buku rujukan sains, teknologi dan kesihatan yang bernilai RM30,000 dalam usaha untuk menggalakkan minat membaca dalam kalangan pelajar sekolah luar bandar. CCM telah menganjurkan program itu sejak 2006 dimana seramai 24,000 pelajar dari 37 buah sekolah luar bandar di Perak telah menikmati faedah sumbangan sebanyak 2,000 naskah buku termasuk set ensiklopedia dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia yang bernilai RM110,000. Sumbangan ini merupakan asas inisiatif tanggungjawab korporat CCM untuk menyediakan peluang kesamarataan kepada murid luar bandar seperti juga pelajar di bandar bagi menikmati keseronokan membaca buku-buku berkaitan sains, kesihatan dan teknologi terkini. Pengarah Urusan Kumpulan CCM, Datuk Dr. Mohd. Hashim Tajudin berkata, adalah penting bagi kanak-kanak mempunyai minat membaca sejak kecil kerana ia memberikan banyak kebaikan dalam membantu pertumbuhan intelek semasa peringkat pertama kehidupan mereka. “Membaca akan melatih dan mencabar minda untuk terus membina kapasiti bagi pertanyaan dan ilmu pengetahuan. Proses itu akan menjadikan seseorang lebih berpengetahuan dan yakin. ``Tabiat membaca perlu dipupuk kerana dengan membaca, maklumat yang diperolehi akan menjadikan pelajar lebih berpengetahuan dan meningkatkan daya saing mereka untuk berjaya dalam apa jua bidang yang dipilih,'' kata beliau dalam satu kenyataan baru-baru ini. Beliau berkata, para pelajar akan lebih berpengetahuan dalam pelbagai bidang dengan membaca dan membantu mereka memperolehi perspektif yang berbeza. ``Ini secara tidak langsung akan mengukuhkan keupayaan mereka untuk berfikir di luar kotak dan memberikan penyelesaian kreatif apabila hendak menyelesaikan sesuatu masalah. ``Pelajar yang banyak membaca akan lebih imaginatif dan mempunyai kebolehan serta keyakinan untuk mengambil pendekatan bijak bagi menjelaskan sesuatu,'' kata Mohd. Hashim. Selain itu jelasnya, membaca juga mampu meningkatkan perbendaharaan kata dan kemahiran bahasa pelajar bagi membantu mereka cemerlang dalam pelajaran. “Orang yang minat membaca lebih terdedah kepada perkataan-perkataan, frasa-frasa dan ungkapan-ungkapan baru yang digunakan dalam pelbagai cara. “Walaupun wujudnya pendekatan lebih canggih di internet dan sebagainya, tabiat membaca akan terus relevan dan menjadi kaedah terbaik dalam mempertingkatkan ilmu pengetahuan. Kebaikan membaca akan berkekalan sepanjang hayat,” tambah beliau. Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Perak, Mohd. Radzi Abd. Jabar berkata, inisiatif CCM dalam usaha mereka untuk menggalakkan pembelajaran dan membina keyakinan diri di kalangan pelajar sekolah luar bandar menerusi amalan membaca adalah satu perkara yang sangat mulia. “Kami menghargai usaha CCM menyediakan peluang kepada para pelajar, terutama sekali masyarakat luar bandar untuk menikmati serta meneroka keajaiban membaca terutamanya mengenai perkembangan bidang sains, teknologi dan kesihatan,” katanya. Menurutnya, usaha murni itu menepati inisiatif tanggungjawab korporat syarikat terhadap kemajuan pendidikan di negara ini. Selain itu, CCM turut memberi sumbangan kepada projek-projek pendidikan lain dengan menyediakan biasiswa kepada para pelajar tempatan menerusi Yayasan CCM dan kepada anak-anak pekebun kecil melalui Golden Growers Club.
|





