UTMobile juara MCC 2009![]() PEMENANG bersama cek replika masing-masing selepas majlis penyampaian hadiah MCC 2009 di Kuala Lumpur baru-baru ini. DALAM keadaan ekonomi yang tidak menentu, peluang pekerjaan kepada lepasan universiti turut terjejas. Apatah lagi jika sekadar bersandar keputusan Penilaian Menengah rendah (PMR) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Namun begitu, dalam kegawatan juga ada peluang khususnya kepada yang golongan yang inovatif. Contohnya penggunaan telefon bimbit secara meluas bermula pada era kemelesetan ekonomi pada 1998. Terbaru, semua kandungan kini bertumpu kepada media bentuk baru - mobile. Ia mudah diakses di mana jua pada bila-bila masa melalui telefon bimbit. Kandungan berbentuk maklumat, berita, komik dan permainan ini mencetus fenomena. Selain pantas, ia juga murah. Pada masa sama, ia mampu menjana pendapatan kepada pemilik kandungan dan pembekal perkhidmatan. Kegilaan ini semakin menjadi-jadi dengan wujudnya laman sesawang Twitter dan facebook. Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat ini, Maxis Berhad (Maxis) dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menganjurkan Cabaran Kandungan Mobile (Mobile Content Challenge, MCC) 2009 di Kuala Lumpur baru-baru ini. MCC 09 bermatlamat memperkasa generasi muda khususnya pelajar untuk terlibat dalam industri kreatif khususnya dalam pembangunan produk inovasi di dalam telefon bimbit. Ia juga untuk mendedahkan mereka dengan teknik pembangunan terkini. Pada pertandingan itu, UTMobile dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) muncul juara melalui “Flyer: On-The-Fly Flash Composer and Community” (Flyer Composer). Produk yang menggabungkan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan Khidmat pesanan multimedia (MMS) itu memenangi hadiah wang tunai bernilai RM60,000. Pasukan UTMobile terdiri daripada Hasnol Ariff Hussin, Muhamad Bukhairi Samsudin dan pensyarah merangkap penasihat mereka Dr. Mohd Yazid Idris. Pasukan Genex dari Universiti Sains Malaysia (USM) menang kategori Hiburan dan Vicegerent dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk kategori Mobile berasaskan maklumat. Masing-masing menerima wang tunai RM10,000. Manakala Pasukan Qlip.in dari Universiti Putra Malaysia (UPM) memenangi Anugerah Khas kerana produk bercirikan 1Malaysia yang mengintegrasikan rangkaian sosial global sedia ada dengan komuniti atas talian dan mobile tempatan. Hadiah disampaikan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang.
|





